
KOTA MARUDU:Generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran pertarungan minda dan perubahan persekitaran yang begitu pantas bagi memastikan kemerdekaan dapat terus dikekalkan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda mengingatkan mereka agar tidak mengambil ringan perkara itu kerana segala pencapaian negara akan lenyap dalam sekelip mata akibat pelbagai ancaman seperti kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang boleh tercetus dengan mudah.
Beliau berkata rakyat tidak boleh leka dengan perkara-perkara yang kurang membawa manfaat, sedangkan dunia kian berubah dan perlumbaan untuk menempa kejayaan berterusan dalam semua lapangan berlangsung tanpa henti.
